IZWAN yang duduk di depan meja aku langsung aku tak
layan. Biarlah dia nak terasa hati. Siapa suruh sibuk-sibuk kacau daun masa aku
sedang soal-siasat Hazim. Sikit aje lagi tadi aku dah boleh buat lompat
bintang.
“Cik Ernie, maaflah.” Izwan merayu lagi pada aku.
Aku kekal membisu. Masih teruskan kerja aku. Saja
aku tekan kuat-kuat setiap aksara pada papan kekunci. Biar Izwan tahu betapa
aku bengang dengan dia.
“Okey, kalau macam tu apa kata kita buat perjanjian.
Cik Ernie beritahu saja apa yang Cik Ernie nak suruh saya buat. Insya-Allah,
saya akan cuba tunaikan.”
Dan dan aku pandang muka Izwan. Saat itu juga aku
lihat Izwan telan liur. Seolah-olah dia dapat agak apa yang bakal aku
perkatakan. Lagilah aku pamer senyuman buat dia. Senyuman ‘jahat’. Dia dah
berjanji. Makanya dia kena tepati.
“Errr… Cik Ernie. Janganlah senyum macam tu. Berdiri
bulu roma saya. Seram.” Izwan kalut menggosok-gosok tangannya yang terdedah.
Staf lelaki dekat sini yang aku perasan semuanya sepesen kalau lepas masuk waktu rehat
termasuklah Hazim. Suka lipat lengan baju hingga ke siku. Mungkin mudah mereka nak
ambil wuduk atau mungkin nak nampak macho
pada kacamata seorang perempuan. Serius aku pun kadang-kadang mengintai
mereka juga. Semua bukan Hazim sahaja.
Aku bersandar. Merenung Izwan sampai dia jadi serba
tidak kena. Sekejap-sekejap betulkan duduknya. Rasa nak terhambur sahaja tawa
dari mulut aku tapi aku kena kuat. Untuk mendapatkan ‘sesuatu’ yang selama ini
aku cari, aku kena serius.
Aku rapatkan badan ke meja. Mata aku masih memaku
pandang pada Izwan. Sedikit pun tak lari. Semakin dia gugup jadinya.
“Errr… Cik Ernie.” Bulat mata sepet dia membalas
renungan aku.
“Janji?” Aku gerak-gerakkan kening.
“Janji.” Takut-takut Izwan angkat tangan kanannya separas
dada. Macam orang berikrar. Nampak comel pula lelaki macho macam Izwan buat macam tu. Aku dah nak tergelak sangat ni.
“Encik Hazim.” Terangguk-angguk kepala aku tika
menyebut nama Hazim. Menunjukkan betapa aku benar-benar nak tahu semuanya
tentang Hazim.
“Ke… kenapa de… dengan Encik Hazim?”
Eh! Mamat sepet ni. Sekali aku backhand karang. Pura-pura tak tahu pula.
“Siapa dia sebenarnya?” Mata sengaja aku jegilkan.
Biar Izwan rasa takut. Biar Izwan dedahkan siapa Hazim yang sebenar-benarnya.
“Di… dia… dia…”
“Siapa?” Aku hentak meja. Bengang. Boleh pula si
mamat sepet ni nak tergagap bagai.
“Ehem…”
Aku dan Izwan serentak berpaling pada insan yang
berdeham tadi. Terus lemah semangat aku. Kenapa? Kenapa bila sahaja aku hampir
dapat apa yang aku nak pasti ada sahaja anasir yang mengganggu?
“Errr… saya balik tempat saya.” Kelam-kabut Izwan
berdiri. Sampai terjatuh kerusi yang baru dia duduk tadi. Kalut dia angkat dan
laju melangkah ke kubikelnya. Namun sebelum itu sempat aku bagi isyarat mata
yang dia terhutang dengan aku.
“Dah solat?” Hazim tarik kerusi dan labuhkan
punggungnya di situ.
“Dah.” Aku menjawab acuh tak acuh. Tahulah dia dah
solat jumaat.
Hazim diam. Terus tekun menyambung kerjanya yang
tergendala sebelum waktu rehat tadi. Aku rasa dia berpuas hati dengan jawapan
aku walau aku ketara sangat malas nak melayan dia.
Aku hanya memerhati. Like seriously? Siapa dia ni sebenarnya. Oh! Come on, Ernie. Kata ada IQ tinggi. Takkanlah setakat mamat
berlagak ni kau tak boleh teka siapa dia.
Yang sebenarnya aku rasa macam nak hantuk-hantuk
kepala semua staf dekat sini. Masing-masing berat mulut nak bercerita. Tadi tu
hampir-hampir sahaja Izwan nak pecahkan rahsia. Sah, si Hazim ni dah bagi
rasuah suruh tutup mulut. Hello! Ini Ernie Hairani tau. Tak ada istilah mengaku
kalah. One fine day, my friend. One fine
day.
"Why?"
Aku terpempan bila Hazim menyoal. Hishhh... boleh
pula tertangkap. Ada deria ke-6 ke apa mamat ni. Bukan ke dia tengah baca
dokumen tu.
"Sempena hari jumaat yang barakah ni, aku
benarkan kau tanya apa yang kau nak tahu. Tapi..." Hazim panggung wajah
memandang aku.
Aku renung dia yang tersenyum-senyum macam kambing.
Ingat aku ni pandai sangat agaknya nak meneka apa yang ada dalam kepala otak
dia tu. Cubalah cakap sampai habis. Buat sakit kepala aku betullah.
"Dah siap belum fail semalam yang aku
bagi?" Hazim pandang aku tanpa rasa bersalah.
Ternaik tinggi kening aku jongketkan. Ini
betul-betul mendatangkan marah. Betul-betul menguji kesabaran Ernie Hairani Dato’
Ehsan. Kau memang sengaja, kan Hazim.
"Stress!"
Aku jerit kuat-kuat.
"Eh! Kau ni dah kenapa?" Suara Hazim turut
sama meninggi macam suara aku.
Pak cik ni memang nak kena. Tak sedar ke dia yang
jadi penyebab aku menjerit macam orang gila. Menyampah tahap gaban betul dengan
mamat berlagak ni.
Belum sempat Hazim menyambung bicaranya, kedengaran
telefon bimbitnya yang ditinggalkan di dalam bilik kerjanya berbunyi.
“Kita belum habis lagi.” Dia bergegas masuk ke bilik
kerjanya.
Terus aku jatuhkan kepala di atas meja. Sampai bila?
Sampai bila hal ini akan menghantui aku? Papa, mama, Kak Yana, Kak Zah, Izwan
dan yang lain-lain langsung tak membantu. Aku dah tak larat nak cari jalan
penyelesaian. Tuan punya badan tu pula banyak sangat tapinya.
"Aku nak tanya kau sikit," sergah Hazim
sambil jemari dia galak mengetuk meja kerja aku. Entah bila dia datang semula
ke sini, langsung aku tak sedar. Tahu-tahu sahaja menyergah orang.
Tegak terus badan aku. Laju tangan melekap di dada.
Terperanjat. Buang tabiat ke apa mamat berlagak ni. Bukan main cakap hari ini
hari jumaat yang penuh barakah. Suara tu kawallah sikit. Tak pernahnya nak
berlembut dengan aku. Kalau dia cakap elok-elok, bukannya aku tak layan. Apa
dia ingat aku tak boleh jadi perempuan melayu terakhir ke? Try me.
"Hmmm..." Aku balas acuh tak acuh. Muka
tanpa riak aku tayangkan pada dia. Memandang dia yang bersandar malas pada
kubikel aku. Ala-ala lelaki macholah
konon. Dengan tangan bersilang dekat dada.
Suara-suara dalam hati aku ni tengah bersorak riang.
Ernie Hairani Dato’ Ehsan mengharapkan mamat berlagak ni bercakap lembut tetapi
diri sendiri pun sama ego. Diamlah hati, marahku.
"Kes dalam hutan hari tu." Hazim renung
aku.
"Hutan?" Aku berpura-pura tak tahu. Stresslah kalau semua benda aku nak kena
ingat.
"Boleh tak kau serius sikit bila aku
tanya?" Suara Hazim sudah mula memetir.
Aku mencemik. Tanya orang tapi macam nak ajak gaduh.
Ingat aku nak layan. Baik belek kertas-kertas yang tak pandai bersuara ni. Aku
kalih pandang. Membelek semula dokumen di depan mata.
Tanpa diduga Hazim pegang tangan aku. Tarik aku
keluar dari kubikel. Heret aku keluar dari pejabat. Tidak dihiraukan mata
staf-staf yang memandang pada kami.
Sempat aku memberi isyarat mata pada mereka agar
tidak masuk campur walau dalam hati ini sudah mendidih marah dengan perbuatan
Hazim. Dia ni memang dah melampau.
"Kau nak bawa aku pergi mana?" Kuat suara
aku membentak. Pegangan tangannya aku cuba rungkaikan.
Hazim diam seribu bahasa sebaliknya terus menarik
aku agar mengikuti langkah dia. Sampai tersadung-sadung kaki aku. Hampir sahaja
nak terjatuh. Mamat ni memang suka buat kelakuan luar alam. Minta-mintalah papa
muncul waktu ini. Biar papa tahu perangai sebenar staf kesayangan dia ni.
Disebabkan aku minta benda yang tak elok, sampai ke
sudah papa tak muncul pun. Rupa-rupanya Hazim heret aku masuk ke café. Bukanlah
dia nak buat benda tak elok pun. Aku aje yang selalu fikir yang bukan-bukan.
“Dah makan?” Hazim hulurkan sebiji pinggan pada aku.
“Dah. Waktu rehat tadi. Sekarang waktu kerja
takkanlah aku baru nak makan.” Sarkastik betul mulut aku membalas soalan Hazim.
“Teman aku makan? Tadi tak sempat,” pinta Hazim
dengan wajah sayu. Tak terkesan langsung dengan kata-kata sinis aku tadi.
Alahhh… ini yang aku lemah ni. Kenapa dia buat muka
macam tu? Aku ni bukan boleh orang buat muka kesian. Mudah cair. Tanpa bicara
aku capai pinggan yang dihulurkannya.
“Aku janji apa sahaja kau nak tahu aku akan
beritahu.”
Aku menoleh. Mencari kebenaran kata-kata tadi pada
wajah Hazim. Dia nampak tenang. Santai memilih lauk-pauk yang masih berbaki untuk
mengisi perutnya.
“Aku tak tipu.” Dia panggung wajah. Kenyit mata.
Senyum dan berlalu meninggalkan aku yang masih termangu di situ.
Begitu mudah? Oh,
my! Susahnya nak percaya. Errr… betul ke tadi tu Hazim? Kenapa nampak manis
aje?
“Ni nak makan ke tak?”
“Huh?” Aku kerdip-kerdip mata. Memandang Hazim yang
entah bila berdiri semula di sisi aku.
“Kau ni dengan berangan memang berpisah tiada, eh.”
Dia capai pinggan di tangan aku. Dia cedukkan sedikit nasi. Dia ambilkan
seketul ayam, sedikit sambal tumis udang dan sayur campur. Selesai semuanya,
dia tarik hujung lengan baju aku agar mengikut langkah dia ke meja yang dia
duduk tadi.
Oh, my! Hati aku macam dah tergolek-golek. Jantung aku
macam dah tercabut. Tak mampu nak hadam sikap gentleman yang Hazim pamerkan sekarang ini.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan